•••(۞)••••السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ الله••••(۞)•••
سمِ اللَّهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ
Kehebatan Bismillah hirrahman nirrahim ! Barangsiapa mengucapkan Bismillah hirrahman nirrahim banyak-banyak dengan harapan mendapat rezeki, nescaya akan diberikan Allah rezeki dengan mudah dan tidak terduga olehnya. Serta, diberi kurnia kehebatan di hati manusia dan di sisi alam yang tinggi (yakni Malaikat) dan alam yang rendah (yakni manusia dan lain-lain makhluk Allah di muka bumi).
Dengan nama Allah, Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, Sabda Rasulullah SAW :
"Adalah Jibril apabila datang kepadaku, yang pertama diberikannya kepadaku ialah Bismillah hirrahman nirrahim."
(Darulquthni dan Ibnu Umar r.a. )
Sabda Rasulullah SAW :
"Itulah isim dari asma Allah. Tidak lain antara ia dengan nama Allah, 'Akbar' seperti putih mata dengan hitamnya. Begitulah dekatnya."
Demikianlah jawapan RasulullahSAW ketika ditanya oleh Utsman Ibnu Affan berkenaan Bismillah.
Sabda Baginda SAW lagi :
"Ismullahil-A'zham ialah Allah. Apakah engkau tidak lihat bahawasanya pada semua pembacaan Al-Quran dimulai dengan Bismillah hirrahman nirrahim sebelum menyebut nama-nama Allah yang lain."
( Riwayat Imam Bukhari dari Jabir )
Bersabda Nabi SAW :
"Ketika turunnya Bismillah hirrahman nirrahim, bergembiralah ahli langit dari bangsa Malaikat, bergoncanglah 'Arasy kerana turunnya. Turut serta bersamanya 1000 Malaikat. Dan, bertambahlah iman para Malaikat. Dan, tunduklah segala jin dan bergetar segala planet. Gementar segala sendi-sendi kerana turunnya."
Dari Abu Na'im dan Ibn Sunni dari Siti Aisyah r.a. :
"Ketika turun Bismillah hirrahman nirrahim, mengucap tasbihlah gunung-ganang hingga dapat mendengar para penduduk Mekah dan sekitarnya. Lalu mereka berkata: "Rupanya Muhammad yang menyihir gunung-gunung itu." Kemudian Allah bangkitkan awan hingga meneduhkan penduduk Mekah."
Sabda Rasulullah SAW :
"Barangsiapa membaca Bismillah hirrahman nirrahim dengan penuh yakin, akan bertasbihlah gunung-ganang. Cuma sahaja ia tidak dapat mendengarnya."
Rasulullah SAW bersabda :
"Barangsiapa mengucapkan Bismillah hirrahman nirrahim dan laa haula walaquwwata illaa billaahil aliyyil adzhiim, Allah lepaskan dia dari 70 pintu bala dan kesukaran, dukacita dan kesakitan."
Dari al-Waqii dan atas-Tsa'labi dari Ibnu Mas'ud r.a. :
"Barangsiapa ingin dipelihara oleh Allah dari seksaan Neraka Zabbaniah yang sembilan belas, maka hendaklah dia mengucapkan Bismillah hirrahman nirrahim. Kerana Allah menjadikan tiap-tiap huruf Bismillah itu sebagai perisai."
Dari ad-Dailami dari Ibnu Mas'ud r.a., bersabda Rasulullah SAW :
"Barangsiapa membaca Bismillah hirrahman nirrahim, dituliskan baginya tiap-tiap huruf 4000 kebajikan, dihapuskan darinya 4000 keburukan dan diangkat dia 4000
darjat."
Bersabda Nabi SAW :
"Jin itu suka memakai barang-barang kepunyaan manusia dan pakaian mereka. Oleh itu, barangsiapa mengambil atau menaruh pakaian, ucapkanlah Bismillah hirrahman nirrahim. Kerana sesungguhnya nama Allah yang dibacakan di situ merupakan cop mohor Allah."
Pengertian dari hadith di atas ialah hendaklah kita mengucapkan Bismillah hirrahman nirrahim setiap kali kita menyimpan atau mengambil barang-barang kepunyaan kita agar terjaga daripada jin dan syaitan. Bukan sahaja kita mendapat pahala dari mengucapkannya tetapi juga mendapat keberkatan dan keselamatan sama ada atas harta benda mahupun diri dan segala usaha kita.
Dari Anas bin Malik bersabda Nabi SAW :
"Andai kata pepohon dijadikan pena dan lautan dijadikan tinta, lalu dikumpulkan semua jin, manusia dan Malaikat untuk membuat buku dan menulis erti Bismillah hirrahman nirrahim selama sejuta tahun, mereka tidak akan sanggup mengertikannya walau hanya satu persepuluh darinya."
Bersabda Rasulullah SAW :
"Ada suatu kaum yang datang pada Hari Qiamat nanti dengan mengucapkan Bismillah hirrahman nirrahim. Lebih berat kebajikan mereka dari keburukan mereka. Lalu berkata umat-umat yang lain : "Alangkah beratnya imbangan amal kebajikan mereka. "Sesungguhnya, adapun yang menjadi sedemikian kerana mereka sentiasa memulai segala perbicaraan mereka dengan Bismillah hirrahman nirrahim. Kerana ia adalah Isim Allah Yang Maha Agung. Jika sekiranya diletakkan langit dan bumi serta segala isinya ke atas neraca timbangan, nescaya beratlah lagi kalimah Bismillah hirrahman nirrahim."
Dari Abu Hurairah r.a., Nabi SAW bersabda :
"Apabila engkau berwuduk, ucapkanlah Bismillah hirrahman nirrahim kerana Malaikat penjagamu tidak kan berhenti menuliskan kebajikan bagimu sehingga engkau selesai. Dan, apabila engkau ingin bersatu dengan isterimu, ucapkanlah Bismillah hirrahman nirrahim kerana sesungguhnya Malaikat penjagamu akan menuliskan kebajikan bagimu hingga selesai engkau mandi janabah. Jika dari persetubuhan itu lahir seorang anak, akan dituliskan bagimu kebajikan menurut bilangan nafasnya dan bilangan anak-cucunya hingga tidak dikecualikan walau seorang."
Diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a. telah bersabda Rasulullah SAW :
"Barangsiapa di antara kamu apabila ia akan bersetubuh dengan isterinya, lalu dia mengucapkan Bismillah hirrahman nirrahim dan berdoa, "Ya Allah, jauhkanlah Syaitan daripada kami dan jauhkanlah Syaitan itu daripada apa yang Engkau kurniakan untuk kami", maka jika sesungguhnya Allah takdirkan dari persetubuhan itu lahir seorang anak, tidak akan dapat Syaitan memudaratkannya untuk selama-lamanya."
Dikisahkan di dalam Kitab Khozinatul-Asror bahawasanya Allah Ta'ala itu mempunyai 3000 nama yang mana 1000 nama hanya diketahui oleh para Nabi-Nabi Allah, 300 nama disebutkan di dalam Kitab Taurat, 300 nama disebutkan di dalam kitab Injil, 300 nama disebutkan di dalam Kitab Zabur, 99 nama disebutkan di dalam Al-Quranul kariim manakala 1 berada di sisi Allah.
Dan, adapun makna daripada keseluruhan 3000 nama ini terhimpun di dalam 3 nama-nama Allah iaitu Allah, Arrahmaan dan Arrahiim yang termaktub pula di dalam kalimah Bismillah hirrahman nirrahim. Maka, barangsiapa mengajarkan dan mengucapkan Bismillah hirrahman nirrahim umpama ia menyebutkan keseluruhan 3000 nama-nama Allah. Adapun sesungguhnya kalimah Bismillah hirrahman nirrahim itu ada sembilan belas huruf dan Malaikat-Malaikat penjaga Neraka itu juga ada sembilan belas. Maka, barangsiapa membaca Bismillah hirrahman nirrahim dengan penuh ikhlas dan yakin kepada Allah, nescaya terhindarlah dia daripada siksaan Malaikat Zabbaniah.
No comments:
Post a Comment
Assalamualaikum..
Tinggalkan komen anda di sini :)
Terima kasih mengkritik :D